Headlines News :
Home » » Agong lancar kampus MSU bernilai RM600 juta

Agong lancar kampus MSU bernilai RM600 juta

Written By petang hot on Selasa, 18 Jun 2013 | 9:37 PTG

Agong lancar kampus MSU bernilai RM600 juta
SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan merasmikan Kampus Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) bernilai lebih RM600 juta di sini.

Kampus itu dibangunkan menerusi tiga fasa dengan menampilkan ciri-ciri kontemporari moden dan kondusif yang beridentiti universiti berkualiti serta bertaraf antarabangsa.

Pembangunan fasa satu siap pada Januari 2010 melibatkan tiga blok utama iaitu Dewan Canselor, menara akademik dan menara sains manakala pembangunan fasa dua meliputi bahagian pengurusan serta pentadbiran disiapkan pada Januari 2012.

Fasa ketiga iaitu pembinaan hospital dan kemudahan penginapan pelajar dijangka siap pada akhir 2015.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Presiden MSU Prof Datuk Mohd Shukri Ab Yajid dalam ucapannya pada majlis itu berkata kampus itu adalah cerminan manifestasi kepada usaha transformasi pendidikan yang sedang diperjuangkan negara.

Katanya MSU telah menempa kejayaan sejak bermula sebagai Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) pada 1981 dan seterusnya berkembang kepada 10 cawangan selepas itu.

Menurutnya, kejayaan terus dicipta dengan penubuhan kolej universiti swasta pertama di negara ini iaitu Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM) pada 2001.

"Seterusnya KUTPM dinaik taraf sebagai sebuah universiti penuh MSU pada 2007. Sejajar itu, MSU melancarkan projek pembinaan kampus ini," katanya.

Sementara itu, Pro Canselor MSU, Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin berkata pembangunan kampus MSU ini pastinya akan melonjakkan usaha MSU ke arah menjana lebih ramai modal insan cemerlang dan kompetitif di peringkat negara dan antarabangsa.

"Kejayaan membangunkan kampus baru MSU menjadi simbol komitmen MSU menjayakan agenda transformasi pendidikan negara dengan memacu sistem pendidikan ke arah pembangunan negara maju berpendapatan tinggi pada 2020," katanya. - Bernama
Share this post :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Petang Hot - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger