
KUALA LUMPUR - Perbuatan menghina Nabi Muhammad S.A.W adalah perbuatan biadabdan individu terbabit perlu dikenakan tindakan sewajarnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata, perbuatan itu perlu dibendung kerana ia mencetuskan kemarahan umat Islam dan boleh mengakibatkan keharmonian antara agama terjejas.
"Penulis-penulis ini (di media sosial) harus bertanggungjawab atas apa yang telah mereka timbulkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (MAIWP) 2013, di Wangsa Bowl di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Zainal Abidin Jaffar.
Jamil Khir diminta mengulas mengenai Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang mengenal pasti identiti dua individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad S.A.W melalui laman sosial Facebook pada Jumaat lepas.
Jamil Khir berkata, pengguna media sosial boleh diambil tindakan jika didapati menghina agama anutan mana-mana masyarakat di negara ini.
"Tindakan boleh diambil melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan jika (pelaku) beragama Islam, dia boleh dikenakan tindakan melalui enakmen negeri-negeri yang mempunyai peruntukan untuk tindakan ke atas mereka," katanya.
Mengenai Karnival Sukan MAIWP 2013, Jamil Khir yang juga Pengerusi MAIWP berkata aktiviti itu diharap dapat mengeratkan lagi hubungan antara warga kerja agensi itu.
"Saya mengharapkan melalui sukan ini, semua petugas dapat membina satu pasukan kerja yang lebih kental bagi memacu MAIWP ke arah yang terbaik pada tahun ini," katanya. - BERNAMA
Catat Ulasan