Headlines News :
Home » » ‘Jangan Bagi Muka’: Nasihat Mahathir Kepada Najib Bukan Tentang Pembangkang Semata, Tetapi Pemimpin UMNO-BN Sendiri

‘Jangan Bagi Muka’: Nasihat Mahathir Kepada Najib Bukan Tentang Pembangkang Semata, Tetapi Pemimpin UMNO-BN Sendiri

Written By petang hot on Ahad, 16 Jun 2013 | 6:23 PTG


mahathir_najib_new
Apabila bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir memberikan ‘nasihat’ kepada Najib agar tidak memberi terlalu banyak muka kepada pembangkang atau dalam bahasa yang lebih mudah, kurang melayan kehendak pembangkang yang diketuai oleh Anwar Ibrahim, sesungguhnya bekas Perdana Menteri itu sengaja mencipta ruang untuk para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat menghentamnya.
Dan seperti yang dijangka, orang pertama yang menghentamnya adalah Lim Kit Siang. Skeptik dengan apa-apa sahaja kenyataan Tun Dr. Mahathir, Kit Siang terus melabelkan Mahathir sebagai RASIS yang telah memecah belahkan negara ini tanpa dia merujuk kepada dirinya sendiri yang telah terbukti memecah belahkan rakyat negara ini terutama sekali masyarakat Melayu-Bumiputera agar menerima ketuanan Cina di Malaysia.
Najib Abdul Razak sememangnya diketahui seorang Perdana Menteri yang gemar mendengar dan meraikan semua pihak, termasuklah musuh-musuhnya sendiri. Disebabkan itulah Najib seringkali dilabelkan dengan pelbagai gelaran yang tidak sepatut untuk dirinya. Malah keadaan itu menjadikan Najib sebagai sasaran mudah termasuklah dari kalangan penyokong UMNO dan Barisan Nasional sendiri.
Secara jelas, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang yang mengetuai Pakatan Rakyat, telah mengambil kesempatan daripada sikap baik hati dan sudi mendengar Najib Abdul Razak. Mereka tidak sahaja berjaya mencuri peluang dan perhatian, tetapi juga berjaya mewujudkan keraguan terhadap keupayaan Najib Abdul Razak sendiri.
Keadaan itu sudah tentu bukanlah sesuatu yang baik untuk seorang Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Perdana Menteri Malaysia perlu dilihat sebagai seorang yang tegas, manakala Presiden UMNO pula perlu dilihat lebih kuat memperjuangkan kepentingan Melayu-Bumiputera berbanding kaum lain di negara ini.
Pertembungan kedua-dua jawatan tersebut, perlu pula diimbangi dengan sebaik-baik mungkin.
Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang sedar, kalau dibiarkan Najib meneruskan sikapnya itu, lambat-laun masyarakat di negara ini akan bertukar menjadi masyarakat yang saling bertolak ansur dan faham-memahami.
Justeru, tugas mereka adalah untuk menimbulkan sebarang keraguan munasabah termasuklah menanam persepsi bahawa Najib Abdul Razak adalah satu figur yang amat lemah dan mudah dimanipulasi.
Tun Dr. Mahathir yang cukup berpengalaman berhadapan dengan kedua-dua orang pemimpin Pakatan Rakyat tersebut, muncul dengan satu nasihat yang amat berguna kepada Najib Abdul Razak dan para pemimpin UMNO-BN.
“Jangan bagi terlalu banyak muka kepada pembangkang.”
Mungkin kata-kata itu ringkas dan mudah difahami tetapi dalam konteks politik masakini, ia bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Apatah lagi setelah banyak tuntutan pembangkang terutama sekali yang membabitkan kaedah-kaedah pencegahan anasir subversif seperti ISA telah dimansuhkan semata-mata untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang kononnya telus dan jujur.
Apa yang diungkapkan oleh Tun Dr. Mahathir itu sebenarnya memang ada kebenaran. Sikap Najib Abdul Razak yang terlalu banyak memberi muka dan peluang kepada pembangkang, tidak sahaja banyak merencatkan perancangannya bagi memajukan negara, bahkan telah mewujudkan satu senario yang serba menyakitkan hati buat rakyat Malaysia yang mahu hidup aman damai. Sedangkan pembangkang yang telah ditunaikan segala permintaan mereka, tidak pernah pula mengurangkan tekanan demi tekanan yang mereka lakukan, bahkan sentiasa mencari jalan untuk membuatkan Najib Abdul Razak bercelaru dan gagal mengemudi pentadbiran negara.
Sudah terlalu banyak desakan kepada Najib agar tidak mempedulikan segala tuntutan dan desakan daripada pihak pembangkang, sebaliknya Najib harus mengambil langkah yang lebih tegas berdasarkan undang-undang negara bagi menangani sebarang masalah.
Kuasa ada pada Najib sekarang ini. Walaupun mungkin dari satu segi, tindak-tanduk Najib pada jangka panjang, akan memberi kesan yang lebih positif kepada UMNO dan Barisan Nasional tetapi dalam tempoh lima tahun mendatang, kesannya mungkin akan menyebabkan Najib terpaksa bergelut dengan kuasa-kuasa di sekelilingnya yang mahu menekan dan menyingkirkannya dari jawatan Perdana Menteri.
Nasihat Tun Mahathir itu bukan sahaja tentang pembangkang, tetapi turut melibatkan para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang berfikiran tidak kurang seperti Anwar Ibrahim. Ancaman sebenar itulah yang memerlukan Najib perlu mengubah gaya pendekatannya yang terlalu banyak memberi muka!
Share this post :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Petang Hot - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger