Headlines News :
Home » » Janji Nak Jumpa Dua Anak Di Kedah Sebelum Maut

Janji Nak Jumpa Dua Anak Di Kedah Sebelum Maut

Written By petang hot on Selasa, 11 Jun 2013 | 2:32 PG

GEORGETOWN – Allahyarham Tajuddin Zainal Abidin, yang maut dalam tragedi runtuhan tanjak penyambung Jambatan Kedua Pulau Pinang Khamis lepas berjanji untuk pulang melawat dua anak perempuan dengan isteri pertamanya di Ayer Hitam, Kedah pada Sabtu dan Ahad lepas.
Isteri berkenaan, Shahra Ismail, 44, berkata kali terakhir beliau bertemu suaminya dua minggu lepas dan arwah ada menghubunginya sebelum kejadian memaklumkan mahu pulang ke Ayer Hitam untuk melihat dua anak mereka berusia lapan dan 12 tahun.”Saya bekerja kilang dan tinggal di Kulim manakala dua anak kami Nur Izati Shahira, 12, dan Nur Izati Shafikah (lapan tahun) tinggal bersama ibu bapa saya di Ayer Hitam.
“Kami (beliau dan suami) selalu balik melawat mereka dan arwah ada berjanji untuk pulang pada Sabtu dan Ahad iaitu dua hari lepas kejadian berkenaan, tapi tidak sempat.
“Anak-anak sedih kerana tidak berjumpa dengan ayah mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Shara ketika dihubungi berada di Hospital Pantai di Bayan Baru di sini menziarahi adik arwah suaminya, Lazim di hospital berkenaan selepas dia pengsan dan terjatuh akibat terkejut ketika mayat Tajuddin dibawa keluar dari runtuhan binaan pada Jumaat.
Shara berkata Tajuddin, 45, bekerja di sebuah syarikat kargo di Pulau Pinang selepas berhenti dari polis dan merupakan suami yang baik serta bapa yang penyayang kepada anak-anaknya.
“Walaupun dua anak saya tinggal jauh, arwah tidak pernah lupa menghubungi mereka dan sentiasa mengambil berat, malah anak-anak saya juga rapat dengan dua anak isteri kedua (Nur Aina Syazwani, 11, dan Nur Ain Maisarah, 7).
“Arwah selalu bawa mereka (empat anak perempuannya) keluar bersama dan dia pernah juga cakap abang tidak akan berpisah dengan mana-mana isteri walaupun apa terjadi kecuali maut, dan itu yang terjadi,” katanya sedih dengan kejadian berkenaan.
Katanya, beliau juga terkilan kerana tidak sempat bertemu arwah untuk kali terakhir kerana hanya dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa suaminya ketika Tajuddin telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Saya cuma dimaklumkan kejadian itu oleh isteri kedua (Shariffah Ramli) ketika mayat arwah di hospital.
“Tetapi saya tidak sempat jumpa abang (arwah) kerana Shariffah maklumkan pihak hospital tidak boleh tunggu lama kerana jenazah berada dalam keadaan tidak mengizinkan dan dia (isteri kedua) terpaksa bawa balik ke kampung halamannya di Bukit Merah, Perak,” katanya.
Shara berkata mereka sekeluarga redha dengan kejadian itu cuma berharap pihak bertanggungjawab dengan projek berkenaan tidak lepas tangan kerana beliau dan madunya kehilangan tempat bergantung nafkah hidup.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Jambatan Kedua Sendirian Berhad (JKSB) Azizi Azizan berkata pihaknya akan menilai pampasan yang sewajarnya untuk keluarga Tajuddin.
“RM10,000 yang kita akan beri itu adalah wang ehsan untuk keluarga mangsa dan kita juga lihat keperluan untuk keluarga isteri pertama arwah. JKSB tahu mengenai mereka (isteri pertama),” katanya.
Dalam kejadian lewat petang Khamis lepas, mayat Tajuddin berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat pada pukul 8.45 malam keesokan harinya setelah ditemui berada di tempat duduk pemandu Perodua Kelisa.
Azizi berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak menjejaskan tempoh siap projek itu yang dijadualkan sebelum akhir tahun ini.
- Bernama
Share this post :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Petang Hot - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger