Ketika ini, sebilangan blogger dan jentera maya tertentu sudah pun mula menabur benih-benih kebencian terhadap Perdana Menteri dengan menuduh beliau seorang pemimpin lemah kerana masih cuba mengambil hati kaum Cina. Persoalannya, adakah tindakan Najib cuba memulihkan kepercayaan kaum Cina kepada Barisan Nasional itu salah?
Trend politik mutakhir menunjukkan bahawa BN sememangnya memerlukan sokongan kaum Cina, selain perlu mengekalkan sokongan kaum Melayu dalam memastikan BN mampu memenangi 2/3 kerusi Parlimen pada pilihanraya umum akan datang.
Sama ada kita bersedia menerima kebenaran ini atau tidak, BN perlu menawan kembali hati pengundi Cina seandainya mahu mengekalkan kuasa untuk 50 tahun lagi. Dan dalam keadaan orang Cina semakin menjauhi BN, apakah lagi tindakan yang boleh dilakukan Najib selain terus cuba memujuk dan mendekati kelompok ini?
Hakikatnya, ketika ini BN sememangnya kehilangan sokongan Cina, namun sebahagian ahli dan penyokong UMNO pula mendesak kepimpinan parti untuk melupakan kaum itu dan meneruskan agenda tanpa mempedulikan kelompok pengundi Cina. Malah ada pula pihak membuat gesaan agar BN hanya menumpukan perhatian kepada orang Melayu semata-mata, memandangkan hanya Melayu yang masih setia menyokong BN. Persoalannya, adakah desakan dan gesaan ini merupakan desakan yang matang; atau lebih dilihat bersifat mementingkan diri?
Dalam kemelut Chinese Tsunami yang melanda BN, sewajarnya kita mencari formula untuk mengembalikan sokongan pengundi Cina kepada BN, bukan menafikan kewujudan mereka dan menolak sebarang usaha kerajaan untuk membantu kaum Cina.
Ketika Cina semakin biadab, adakah kita juga harus
menanggani mereka secara biadab seterusnya menjadikan keadaan
sosio-politik negara ini menjadi rancu?
Sebaliknya kita perlu melihat BN masih mempunyai sokongan pengundi Cina walaupun dalam nisbah kecil dalam pilihanraya lalu. Dan tindakan memboikot dan melaungkan sebarang provokasi berbau perkauman ternyata tidak akan menguntungkan BN. Akhirnya BN hanya tinggal dengan sokongan Melayu sahaja. Namun timbul persoalan lain, sampai bilakah BN mampu bertahan dengan sokongan orang Melayu semata-mata?
Realitinya sebilangan Melayu yang kini bersama-sama Pakatan Pembangkang adalah mereka yang dahulunya berjuang di dalam UMNO, tetapi disebabkan rasa kecewa dengan beberapa hal tertentu, mereka akhirnya menjadi ular di dalam sangkar yang mematuk tuannya kembali, memberikan kita hipotesis bahawa BN tidak mampu bertahan dengan sokongan orang Melayu sahaja.
Dan ketika segala hujah-hujah ini mula memberikan gambaran tentang nasib BN dalam pilihanraya umum akan datang, adakah kita masih beranggapan bahawa tindakan Najib cuba mengambil hati kaum Cina merupakan tindakan kurang cerdik?
Hakikatnya tindakan Najib mengambil hati kaum Cina merupakan keputusan wajar untuk memperbaiki keadaan dan sokongan terhadap BN terutama ketika dalam keadaaan sebahagian besar ahli UMNO sudah pun mencetuskan collateral damage terhadap parti dengan memainkan isu berkaitan sentimen kaum.
Usaha Perdana Menteri mendekati kaum Cina bukanlah menandakan bahawa beliau sedang membelakangi orang Melayu yang setia bersama-sama BN. Sebaliknya tindakan tersebut diambil setelah mengambil kira kepentingan suasana politik semasa yang memerlukan BN bukan sahaja mendapat mandat dari orang Melayu, tetapi juga dari kaum Cina, India, Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut dan lain-lain kaum di negara ini.
Usaha Perdana Menteri mendekati kaum Cina bukanlah menandakan bahawa beliau sedang membelakangi orang Melayu yang setia bersama-sama BN. Sebaliknya tindakan tersebut diambil setelah mengambil kira kepentingan suasana politik semasa yang memerlukan BN bukan sahaja mendapat mandat dari orang Melayu, tetapi juga dari kaum Cina, India, Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut dan lain-lain kaum di negara ini.
Najib cuba mendekati setiap lapisan masyarakat tanpa sebarang
rasa prejudis dan mengharapkan sokongan mereka terhadap kepimpinan beliau.
Najib harus menjernihkan sokongan rakyat kepada BN dengan berusaha mengimbangi keadaan sosio-politik sedia ada dan bersifat adil terhadap semua kaum. Dan tindakan beliau mendekati kaum Cina merupakan strategi yang cukup baik walaupun impaknya masih belum mampu dilihat dengan jelas sehingga ke waktu ini.
Tetapi walau apa-apa pun, Wak tetap percaya bahawa segala yang dilakukan Pengerusi BN itu ketika ini merupakan tindakan terbaik waima ketika ini beliau sedang dicemuh dan dimusuhi sebahagian besar ahli UMNO.
Teruskan usahamu, Dato' Seri Najib. Wak doakan yang terbaik dan Wak bersedia menjadi perisai yang akan mempertahankan Dato' Seri seandainya tindakan yang Dato' Seri lakukan berada di jalan yang benar. InsyaAllah, kebenaran dan haq akan menghapuskan kebathilan dan Wak yakin bahawa tindakan Dato' Seri ketika ini merupakan tindakan yang paling tepat ketika aroma politik tidak begitu mengharum bersama-sama UMNO dan BN.
Catat Ulasan