Khalid
Pangsapuri Indahria
SUBANG JAYA – “Saya minta MBSA adakan perbincangan mengenai isu Pangsapuri Indahria, Seksyen 22, Shah Alam sehingga masalah itu dapat diselesaikan dengan kadar segera,” demikian tegas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, sekiranya masalah membelenggu penduduk pangsapuri itu gagal diselesaikan, MBSA akan diminta membuat kerja baik pulih terlebih dahulu.

Katanya, hal mengenai tuntutan dan perundangan akan diselesaikan kemudian selepas kerja-kerja berkenaan dilaksanakan.

Abdul Khalid ketika mengulas desakan penduduk pangsapuri itu berkata, masalah terbabit kini dikaji semula selepas MBSA memberi taklimat kepada
Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) minggu lepas.
Jelas beliau lagi, perkara dimaklumkan dalam mesyuarat itu termasuk tindakan perlu dilakukan bagi mengatasi kebimbangan penghuni pangsapuri.

“Sekarang ini apa yang kita ketahui terdapat perselisihan antara pemaju dengan pemilik pangsapuri berkenaan.

“Saya minta pihak MBSA untuk berbincang dan menyelesaikannya, jika gagal MBSA akan buat dulu kerja baik pulih kemudian tuntut akan dilakukan kepada pihak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu mungkin dibawa ke mahkamah jika tiada penyelesaian sepenuhnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan  kira-kira 1,000 penduduk itu mendesak Abdul Khalid supaya segera menyelesaikan masalah tanah mereka yang dikhuatiri menjejaskan struktur kediaman dihuni sejak setahun lalu.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri tersebut, Ariffuniza Koraini, berkata, pihaknya beberapa kali menyuarakan perkara tersebut kepada MBSA namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Penduduk yang menyerahkan memorandum kepada Abdul Khalid sebelum ini mendakwa sejak Mei tahun lalu, tiada tindakan efektif yang diambil, pihak diajukan saling menuding jari dan tidak mahu bertanggungjawab.