Headlines News :
Home » » Resah Warga Asing Berkampung

Resah Warga Asing Berkampung

Written By petang hot on Sabtu, 15 Jun 2013 | 1:49 PG

PELABUHAN KLANG – Penduduk Taman Prima Indah, di sini, menggesa Jabatan Imigresen bertanggungjawab terhadap kehadiran begitu ramai warga asing yang berkampung di sekitar pejabat agensi terbabit hingga memasuki kawasan perumahan mereka.
Dianggarkan kira-kira 100 warga Indonesia, Bangladesh, Vietnam dan Myanmar beratur dari pintu pagar pejabat imigresen hingga ke kawasan perumahan ketika tinjauan Sinar Harian sekitar jam 12 tengah malam, semalam.
Penduduk, Aida Farlina Redzuan, 28, berkata, semakin ramai warga asing berkampung di kawasan terbabit pada hari tertentu dan menyebabkan keadaan di situ semakin kritikal sejak akhir-akhir ini.
“Tidak kira siang mahupun malam, hujan mahupun panas, mereka tetap di sana. Kita difahamkan, mereka tidak berganjak sehingga dapat surat pengampunan daripada Imigresen untuk membenarkan mereka pulang ke negara masing-masing.
“Ada juga yang turut bawa anak kecil bersama dan sanggup tidur di tepi jalan beralaskan kotak dan berpayungkan plastik jika hujan,” katanya.
Menurutnya, dia yakin tiada tindakan susulan diambil menyebabkan jumlah warga asing itu semakin ramai setiap kali surat pengampunan dikeluarkan, tambahan pula Ramadan dan Syawal semakin hampir.
“Kuantiti surat pengampunan pulang harian yang terhad menjadi faktor warga asing ini nekad untuk terus berkampung di sini beberapa hari lebih awal.
“Warga asing ini tiada pilihan lain selain berkampung di sini, jika tidak mereka terpaksa beratur semula dari awal pada keesokan harinya,” katanya.
Imigresen perlu bertindak
SEMENTARA itu, Hayati Alias, 25, berkata, kemungkinan faktor jarak tempat tinggal dan kos perjalanan tinggi turut menjadi punca situasi itu berlaku.
Menurutnya, mereka yang berkampung di sini bukanlah warga asing yang mencari rezeki di Selangor sahaja, malah jika ditanya, ada antara mereka yang datang dari Johor dan Kedah.
“Kita bimbang keselamatan mereka kerana tidur di kawasan terbuka dan terdedah kepada pelbagai bahaya. Pada masa sama, keselamatan penduduk juga dibimbangi terancam dan perkara itu perlu difikirkan Imigresen.
“Jika berlakunya kecurian di kawasan perumahan ini, siapa yang perlu dipersalahkan? pasti warga asing ini yang akan dipersalahkan walaupun mereka tidak melakukannya,” katanya.
Oleh itu, Jabatan Imigresen digesa mengambil tindakan segera menyediakan lokasi khas bagi menempatkan warga asing ini selain mewujudkan sistem baru yang lebih sistematik.
Sementara itu, Sinar Harian telah menghubungi Penolong Pengarah Imigresen Pelabuhan Klang, Tarmizi Talib Ali namun beliau enggan mengulas kerana di luar bidang kuasa untuk mengulas situasi itu.
Bagaimanapun, Sinar Harian cuba menghubungi Pengarah Imigresen Selangor, Amran Ahmad untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu ini, namun tidak berjaya.
Keadaan terkawal
DALAM pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusof berkata, setakat ini tiada sebarang aduan diterima daripada penduduk berhampiran mengenainya dan keadaan juga masih terkawal.
“Kita juga tidak menerima permohonan daripada Imigresen untuk membantu mengawasi keadaan tersebut. Namun, kita akan sentiasa menjalankan rondaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terkawal,” katanya.
- SINAR HARIAN
Share this post :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Petang Hot - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger