
Oleh Zul Rawi
Setelah mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa akhirnya tampil membuatkan kenyataan untuk menyelar tindakan beberapa tokoh pemimpin parti itu yang dirasakan telah mengkhianati perjuangan parti. Sindiran keras itu merupakan maklum balas Husam ke atas beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pimpinan parti itu yang enggan menyokong Himpunan ‘Black505’.
Dia yang tampil buat pertama kalinya pada perhimpunan pakatan pembangkang malam tadi setelah merajuk kerana tidak dipilih menjadi Exco kerajaan negeri bertindak untuk ‘menyerang’ mereka sebagai pengkhianat.
“Pada saya mana-mana pemimpin yang tidak menyokong perhimpunan ini membawa suara Umno dan Barisan Nasional (BN), saya kena berterus terang di sini. Bayangkan kalau kita tidak kuat kita dianggap angkuh membelakangkan saudara-saudara kita, kalau dalam perang saudara-saudara kita berlumuran darah hasil penipuan tapi kita berdiam diri kerana memang kita pengkhianat” katanya.
Himpunan ‘Black505’ anjuran Anwar itu bukan sahaja mendapat kritikan daripada rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebaliknya tidak dipersetujui oleh ramai pemimpin Pas terutama Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang lantang menentangnya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat melalui laman facebook pada 20 Mei lalu menganggap himpunan itu sebagai perbuatan yang ‘gopoh’, justeru mengajak orang ramai memikirkan kemenangan melalui kesabaran, bukannya melalui ledakan di jalan raya. Beliau turut menyeru semua pihak supaya mengakui Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu dimenangi oleh BN dan kekalahan kepada pakatan pembangkang telah ditakdirkan Allah.
Selain itu, dalam nada sinis, Nik Abduh turut menyifatkan janji-janji Anwar sekadar janji manis sehingga mengakibatkan ramai penyokong pakatan pembangkang menjadi mangsa ‘kencing manis akibat janji manis bergula’ Anwar.
Selain Nik Abduh, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dalam kenyataannya turut meminta rakyat menolak sebarang perhimpunan haram sekiranya didapati boleh membawa masalah, kemusnahan serta mencetuskan huru-hara kepada negara.
Ramai di kalangan penganalisa politik merasakan ‘serangan’ Husam itu sebagai tindak balas atas peranan yang dimainkan oleh beberapa tokoh di dalam Pas yang cuba untuk ‘membunuh’ karier politiknya. Ketika pilihanraya umum yang lalu, Husam dilihat cuba mengambil hati Anwar dengan menawarkan diri untuk bertanding di kawasan Putrajaya terpaksa akur dengan kehendak pengundi yang menolak dirinya.
Ekoran kekalahan tersebut dan beberapa isu penyalahgunaan kuasa yang melanda dirinya, Pas Kelantan telah bertindak untuk menggugurkan dirinya dari jawatan Exco kerajaan negeri. Berang dengan tindakan tersebut dia akhirnya bertindak untuk mencetuskan kontroversi dengan tidak menghadiri majlis angkat sumpah yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
Tambah mengejutkan, dia turut memohon untuk tidak hadir sepanjang tempoh persidangan DUN Kelantan yang dijadual bermula Ahad ini.
Menurut sumber, beberapa tokoh di kalangan ulama pada ketika ini sedang mengerakan kempen untuk menyingkirkan mereka di kalangan ‘Anwarinas’ dalam pemilihan Pas yang dijangka berlangsung pada November ini.
Ia ekoran dari rungutan yang diterima dari pimpinan ‘akar umbi’ yang marah dengan tindakan kumpulan tersebut yang ‘mendewakan’ Anwar berbanding perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas. Tidak cukup dengan itu, pembaharuan dan pendekatan yang dibawa oleh beberapa tokoh dari kumpulan tersebut juga dianggap sebagai punca kemerosotan prestasi parti itu dalam pilihanraya yang lalu.
Mereka merasakan, mereka dari kelompok ‘Anwarinas’ lebih memberikan ‘wala’ (kesetiaan dan penghormatan yang tinggi kepada pimpinan) kepada Anwar berbanding Presiden parti dan kumpulan ulama di dalam Pas.
Antara mereka yang disebut akan disingkirkan ialah Mat Sabu, Khalid Samad, Salahuddin Ayub, Dr Dzul, Dr Hatta Ramli, Dr Syed Azman, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dan Husam Musa.
Kelantangan kumpulan ‘Anwarinas’ ini dilihat semakin membarah di dalam Pas. Selain sering dilihat mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan perjuangan asal Pas, mereka ini juga dikatakan sering membelakangkan dan memberikan tekanan kepada beberapa keputusan Presiden.
Oleh yang demikian, menurut sumber yang enggan dikenali itu ramai di kalangan perwakilan yang merasakan pemilihan parti tahun ini adalah merupakan jalan yang terbaik untuk ‘menyingkirkan’ mereka. Ia bagi mengembalikan semula arah tuju dan matlamat perjuangan parti yang telah semakin tersasar.
Catat Ulasan