Headlines News :
Home » , » Kaedah matematik mudahkan usaha cari kotak hitam

Kaedah matematik mudahkan usaha cari kotak hitam

Written By petang hot on Selasa, 25 Mac 2014 | 9:21 PTG

MH370

Kaedah matematik boleh digunakan untuk memudahkan usaha mencari kotak hitam pesawat Malaysia Airlines yang hilang, kata Ketua Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur (UNIKL)dan pelatih juruterbang Profesor Madya Kapten Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian.

Beliau berkata kaedah itu boleh digunakan bagi mengenal pasti titik pertemuan di antara sayap dan fiuslaj bagi mengenal pasti kedudukan kotak hitam itu.

"Ada beberapa kaedah atau kebarangkalian berhubung bagaimana fiuslaj boleh ditemui. Sebagai contoh, selepas sayap ditemui, kita mungkin tahu di mana fiuslaj itu berada," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Harridon berkata sebenarnya untuk mencari kotak kotak hitam lebih sukar daripada dijangka.

"Walaupun jika serpihan itu ditemui, bahagian-bahagian pesawat itu sudah pasti jauh dihanyutkan oleh arus yang kuat dan ia menjadi sukar untuk mengenal pasti kedudukan fiuslaj itu kerana radiusnya akan menjadi agak luas," katanya kepada Bernama.

Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Usaha pencarian pelbagai negara digerakkan untuk mencari pesawat itu, pada mulanya di Laut China Selatan dan kemudian ke kawasan daratan dan laut yang luas di sebelah barat Malaysia termasuk Lautan Hindi, apabila dilaporkan pesawat itu  melencong dari laluan asal dan terbang selama tujuh jam selepas seseorang dengan sengaja menutup sistem komunikasi pesawat.

Usaha mencari kemudian bertumpu kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke sebelah utara Thailand, manakala koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Selepas imej satelit menunjukkan sesuatu seperti serpihan, pesawat dan kapal tentera daripada pasukan mencari pelbagai negara bergegas ke kawasan di selatan Lautan Hindi.

Berdasarkan hasil analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini, syarikat Inmarsat United Kingdom dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) memaklumkan Perdana Menteri bahawa mereka merumuskan Penerbangan MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan malam tadi: "Oleh itu dengan penuh rasa sedih dan kesal saya mesti memaklumkan kepada anda bahawa menurut data baharu ini, Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi."      

Mohd Harridon berkata adalah wajar bagi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan sensor sonar untuk mengesan isyarat dari kotak hitam pesawat itu.

Katanya kotak hitam yang diperbuat daripada titanium dan keluli dan disalut bahan kalis api, boleh menahan hentakan yang kuat sehingga 3,000 kali serta masih mampu mengeluarkan isyarat jika jatuh sehingga kedalaman 6,000 meter.

Kotak hitam juga mampu bertahan sehingga 2,000 darjah Fahrenheit dalam sesuatu kejadian kebakaran dan hampir 95 peratus kotak hitam dapat ditemui dalam kemalangan yang membabitkan kapal terbang.

Mohd Harridon juga tidak menolak kemungkinan bahawa pesawat itu melakukan 'soft landing' (pendaratan lunak) di Lautan Hindi.
Share this post :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Petang Hot - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger