NIBONG TEBAL - Tiga belas orang rakyat Vietnam ditahan kerana memiliki 5.2 kilogram kayu gaharu bernilai lebih RM25,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Simpang Ampat, di sini awal hari ini.
Pengarah Jabatan Perhutanan Pulau Pinang ,Roslee Jamaludin berkata, mereka yang ditahan dalam serbuan pada 2 pagi itu terdiri daripada tujuh lelaki dan enam wanita Vietnam berusia antara 20 dan 40 tahun.
"Kami merampas 5.2 kilogram kayu gaharu dan sejumlah peralatan yang diguna untuk menebang pokok serta menggred kayu gaharu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan yang dipercayai anggota sebuah sindiket itu mencuri kayu gaharu dari hutan di sekitar negeri ini dan Perak.
"Kami tidak menolak kemungkinan sindiket yang dianggotai dan didalangi warga asing itu sudah terbabit dalam aktiviti mengambil kayu gaharu tanpa kebenaran untuk tempoh agak lama.
"Siasatan awal juga mendapati rumah yang didiami mereka itu dijadikan lokasi untuk mengumpul dan menggred kayu gaharu sebelum dijual," katanya.
Roslee berkata pihaknya juga percaya setiap individu berkenaan mempunyai peranan dan tugas masing-masing contohnya keluar mencari bekalan kayu gaharu dan melakukan kerja memproses serta menggred bahan itu yang mempunyai nilai tinggi di pasaran.
"Kami percaya sindiket itu telah mengaut keuntungan ribuan ringit setiap bulan," katanya.
Beliau berkata kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan.
Catat Ulasan