Headlines News :
Home » , » Pemasang wayar didakwa tipu pengurus besar

Pemasang wayar didakwa tipu pengurus besar

Written By petang hot on Khamis, 10 Julai 2014 | 5:14 PTG

SHAH ALAM - Seorang pekerja pemasangan wayar dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu seorang pengurus besar untuk menyerahkan cek bernilai hampir RM1 juta, empat bulan lepas.

P.Krishnamoorthy, 49, dari Jalan Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim G. Ramesh.

Lelaki itu didakwa menipu Pengurus Besar Syarikat Metrod (M) Sdn Bhd, Raymond Hoo Weng Keong, 46, untuk menyerahkan sekeping cek CIMB Bank bernilai RM991,629.30 kepada Wan Mahrom Shah Wan Musa, 42, bagi tujuan pembayaran bil elektrik syarikat itu dengan kadar diskaun dua peratus, dan Raymond tidak akan menyerahkan cek itu sekiranya tidak diperdaya.

Tertuduh yang ditangkap pada 2 Julai lepas didakwa melakukan kesalahan di premis Metrod No: 3, Lengkuk Keluli 2, Bukit Raja Prime Industrial Park, Klang, pada 25 Mac lepas.

Pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu memperuntuk hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.   

Hakim Ramesh membenarkan Krishnamoorthy dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, pegawai pemasaran Wan Mahrom Shah, peniaga Mohd Norhafiz Ashraf Mohd Shamsuddin, 27, penyelia pengawal keselamatan P.Surendiran, 35, dan penganggur B.Murugan, 40, turut dituduh bersama-sama bersubahat dengan Krishnamoorthy.

Jika sabit kesalahan, keempat-empat lelaki itu boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Hakim Ramesh membenarkan keempat-empat tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 serta seorang penjamin setiap seorang dan juga menetapkan 13 Ogos untuk sebutan semula kes.

Beliau turut memerintahkan semua tertuduh menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah sehingga kes selesai. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Raimi Mohd Ramly sementara kesemua tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein, Thiru Kumar dan V. Kumar Aval.
Share this post :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Petang Hot - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger