Headlines News :
Home » , , » Wan Azizah calon bidan terjun, tak layak jadi MB - Bekas ahli PKR

Wan Azizah calon bidan terjun, tak layak jadi MB - Bekas ahli PKR

Written By petang hot on Sabtu, 16 Ogos 2014 | 9:22 PTG












SHAH ALAM: Sekumpulan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini telah melancarkan sebuah pertubuhan yang digelar Gerak Rakyat Arus Bawahan Selangor (GRABS).

Menurut pengerusi sementaranya, Mohd Faizal Idris, gerakan tersebut bertujuan menolak cadangan menjadikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor serta menyokong menteri besar sedia ada iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya terus memegang jawatan tersebut.

"GRABS adalah NGO yang bercakap untuk pihak suara arus bawahan dan orang kebanyakan yang tidak diberi maklum serta tidak diberi ruang untuk menyampaikan apa yang terbuku.

"Kebanyakan kami adalah bekas ahli PKR yang dipecat dan akan keluar dari PKR. Mereka juga terdiri dari kalangan yang tidak mendapat maklumat terbaik tentang krisis di negeri Selangor yang ada sekarang," katanya di satu perhimpunan di Dataran Shah Alam pada Sabtu.

Katanya tujuan GRABS juga ditubuhkan kerana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melanggar deklarasi 'Permatang Pauh 1998' yang antara lain melarang, membenci, melaknat nepotisme dan kronisme, serta amat membenci rasuah.

"Keadilan apa yang kamu beri kepada Abdul Khalid sedangkan Anwar sendiri diberikan ruang sebanyak 67 kali dalam kes beliau. Abdul Khalid baru sekali buat rayuan," kata Mohd Faizal yang juga bekas ahli PKR Sabak Bernam.

Menurutnya lagi, GRABS akan memulakan siri jelajah ke seluruh negeri Selangor bermula di Sabak Bernam bagi menjelaskan keadaan sebenar dan isu-isu krisis berkaitan MB Selangor.

"Kita desak pihak-pihak yang terlibat supaya menghentikan gerak-gerak tidak indah yang merosakkan pemikiran rakyat sehingga menjadi berkecamuk dan keliru," tegasnya.

Sementara itu timbalan pengerusi GRABS, Hanafiah Husin turut mengkritik tindakan ahli-ahli Pakatan Rakyat (PR) khususnya PKR dan DAP kerana dikatakan tidak menghormati keputusan Sultan Selangor.

"Keputusan yang dibuat oleh Sultan Selangor adalah berdasarkan mesyuarat Majlis DiRaja dan mereka sepatutnya kena akur, serta kebanyakan ahli-ahli PKR bukanlah anak-anak Selangor dan mereka seharusnya tahu undang-undang tubuh negeri itu," katanya.

Katanya Dr Wan Azizah tidak layak menjadi Menteri Besar kerana beliau bukanlah anak Selangor serta merupakan calon 'bidan terjun' yang dilantik oleh suaminya sendiri.

Selain itu, beliau juga memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu supaya jangan menghasut rakyat bagi tujuan mencetuskan huru-hara di Selangor.

Hanafiah juga menggesa pihak berkuasa serta pihak terbabit untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang berbuat demikian.

Sebelum ini, 30 orang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat di Selangor menyatakan sokongan kepada ADUN Kajang, Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baharu.

Abdul Khalid dalam satu kenyataan di Facebook berkata, beliau maklum tentang pengumuman Wan Azizah yang mendakwa ADUN Kajang itu telah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri Selangor.

Tambah Abdul Khalid, sehingga proses undi tidak percaya di Dewan Negeri Selangor belum lagi diadakan, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan berjalan seperti biasa.


Pada 9 Ogos, Abdul Khalid dipecat dari PKR sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta kerana enggan akur dengan keputusan parti untuk berundur bagi memberi laluan kepada Wan Azizah.
Share this post :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Petang Hot - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger