Himpunan Black505 pada dasarnya mensasarkan penyertaan sehingga 1 juta ‘rakyat’. Namun, sehingga ia selesai, hanya 1% dari 1 juta jumlah sasaran, yang menyertainya.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, Black505 bukan sahaja gagal, tetapi merupakan satu bencana yang memalukan Anwar Ibrahim. Jumlah pengundi berdaftar pada PRU-13 ialah 13,268,002 dan jumlah yang keluar mengundi ialah 11,257,147. Tetapi hanya 10,000 orang atau 0.08% dari mereka yang keluar mengundi yang menyertai Black505, iaitu hanya 0.03% dari keseluruhan 28 juta rakyat Malaysia.
Pembangkang mungkin menepis hujah ini dengan berkata tidak semestinya semua yang membantah keputusan PRU-13 menyertai himpunan tersebut tetapi ramai yang hanya memilih untuk ‘melihat dan menunggu’ dari jauh. Benar, kita faham, bahawa bukan semua penyokong pembangkang itu cukup bodoh untuk terlibat dalam himpunan yang sia-sia, malah merbahaya, serta memperjudikan kehidupan selesa mereka di bawah naungan kerajaan BN.
Tetapi, takkanlah hanya 10,000 orang sahaja dari 51% undi popular yang dimegahkan pembangkang?
Takkanlah dengan promosi bantahan yang begitu hebat dan kemarahan yang tiada taranya terhadap kerajaan dan SPR, hanya 10,000 orang sahaja yang sanggup bersusahpayah memperjuangkan ‘hak’ kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU-13? Sekurang-kurangnya biarlah mencapai 500,000 iaitu separuh dari sasaran awal atau lebih wajar jika ia mencapai separuh dari jumlah pengundi yang keluar mengundi iaitu dalam 5 juta orang.
Hakikatnya, Black505 merupakan satu pernyataan rasmi bahawa PR tidak layak menampilkan diri sebagai ‘suara rakyat’. Jelas kini, bahawa rakyat tidak bersama PR atau lebih tepat, Anwar.
Catat Ulasan