Headlines News :
Home » » Institusi raja lambang perpaduan, penyatuan..

Institusi raja lambang perpaduan, penyatuan..

Written By petang hot on Rabu, 5 Jun 2013 | 4:31 PTG


KUALA LUMPUR 5 Jun - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah institusi raja ialah lambang perpaduan dan simbol penyatuan yang bertenaga untuk membina kesatuan dalam kepelbagaian.
Titah baginda, institusi berkenaan sejak sekian lama dan secara terselindung berperanan sebagai perekat sosial yang berjaya menyatukan warga negara ini.
"Pemerintahan beraja secara awal dan semula jadi mencerminkan amalan kesejahteraan - menolak ekstremisme. Ia teras dalam proses membina dan membangunkan sebuah negara bangsa. Bahawa raja adalah simbol kedaulatan tanah air warisan Melayu, berperanan sebagai benteng dan kubu pelindung agama Islam dan budaya Melayu.
"Raja turut berperanan memberi naungan kepada semua warga daripada semua kumpulan etnik yang menganuti pelbagai agama. Naungan saksama raja wajib dilimpahkan kepada semua warga yang telah menerima identiti Perlembagaan dan bermastautin secara selesa di bumi ini," baginda bertitah ketika menyampaikan titah utama bertajuk Perlembagaan dan Islam: Peranan Institusi Raja pada seminar institusi raja di sini hari ini.
Seminar bertemakan Melestarikan Pemerintahan Beraja itu dirasmikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
Raja Nazrin bertitah, gelombang perpecahan dilihat seumpama melanda warga negara sejak pilihan raya umum ke-12, dan melahirkan kebimbangan jika keretakan itu tercetus atas nama agama atau kaum.
"Dalam senario sedemikian, keluhuran institusi raja perlu dilindungi daripada sebarang bentuk penodaan, agar warga kekal menabur bunga setia," titah baginda dan menambah bahawa rakyat perlu diingatkan semula sejarah lama bahawa sengketa boleh tercetus akibat fitnah dan hasad dengki serta takhta Diraja dipengaruhi pihak yang salah.
Baginda menjelaskan, peranan dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan membuktikan jawatan Ketua Utama Negara itu bukan diwujudkan semata-mata bagi menyempurnakan tugas-tugas 'ceremonial' (istiadat).
Titah Raja Nazrin, amat penting bagi raja bersifat berkecuali dan berada di atas segala polemik politik supaya institusi berkenaan boleh terus berperanan sebagai penimbang tara yang adil dalam mendamaikan sebarang perselisihan.
"Tugas tersebut bukanlah ringan; ia memerlukan kearifan dan hikmah, pengalaman dan kematangan.
"Tugas tersebut bertambah mencabar dalam menghadapi warga yang berlatar-belakangkan pelbagai kaum dan agama, ditambah dengan komposisi warga muda yang meningkat bilangannya, memiliki pelbagai idealisme di samping terdedah kepada pengaruh globalisasi," titah baginda.
Baginda menegaskan, institusi raja sedang melalui satu evolusi supaya peranannya lebih relevan, kekal dinamik dan berupaya menangani tuntutan dan keperluan semasa, terutama dalam memenuhi peranan sebagai instrumen kesatuan dalam kepelbagaian. - BERNAMA
Share this post :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Petang Hot - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger