Usaha kerajaan negeri untuk terus menjadikan Perak sebagai negeri berteraskan ilmu pengetahuan mampu melahirkan generasi yang cemerlang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelbagai program dalam perancangan untuk membina minda pelajar telah dikemukan bagi mencapai fokus ini kerana ianya adalah teras kerajaan.
“Antara program yang diusulkan termasuklah konsep Mind-Mapping yang terkini dilaksanakan di peringkat negeri Perak,” katanya.
Beliau juga menyatakan, kerajaan negeri sedang berusaha untuk mewujudkan beberapa institusi pengajian tinggi di Perak dengan perbincangan Kementerian Pelajaran.
Sementara itu, Zambry turut meminta agar masyarakat harus bersama-sama memberi sokongan positif kepada para guru apabila kini tanggungjawab guru-guru kian tercabar dek kerana kewujudan alam maya.
“Cabaran guru hari ini lebih besar berbanding zaman sebelumnya apabila terdapatnya peralatan pembelajaran yang canggih.
“Bukan itu saja, malah apabila terlampau banyak maklumat dan sumber-sumber dalam alam maya menyebabkan tanggungjawab guru lebih mencabar,” jelas Zambry selepas merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Manjung di Hotel Ritz Garden, Seri Manjung, Khamis.
Tambah beliau, sikap yang sentiasa positif kepada guru-guru perlu diterapkan agar mereka tidak terganggu dengan cabaran-cabaran yang sedia ada ini.
“Jangan lemparkan pandangan yang sentimental terhadap guru sekarang, kerana tiada beza antara guru dulu dan kini.
“Zaman kita dulu mungkin tidak ada komputer, internet tapi sekarang sudah ada, malah lebih lagi kemudahan, sebab itulah ianya dilihat sebagai cabaran yang lebih besar dari sebelumnya,” tegas Zambry ketika sidang media.
Sempena sambutan hari guru ini, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Daerah Manjung 2013 manakalaAnugerah Kepimpinan Guru Peringkat Manjung 2013 dirangkul oleh Abdul Majid Yusof.
Catat Ulasan