
Kemelut dalam memimpin dan mentadbir negeri Pakatan Rakyat, Selangor masih lagi tidak berpenghujung apatah lagi sudah masuk penggal kedua pembangkang berjaya mengekalkan kerusi di Selangor.
Begitu juga dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang semakin tidak pandai untuk memimpin Selangor dek kerana mempunyai terlalu banyak masalah untuk diselesaikan.
Kalau penggal yang lalu, Khalid ternyata tidak mampu untuk menyelesaikan masalah yang melibatkan rakyat terutama sekali dalam menunaikan segala janji yang telah ditabur.
Belum pun cukup lama mendapat mandat kembali menjadi MB, Khalid sudah dilanda ombak dalam struktur pentadbiran negeri Selangor.
Kerana masalah pergeseran antara pemimpin parti PKR yang teruk, disebabkan itulah Khalid memerlukan khidmat Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pegawai Perhubungan Politik Selangor.
Pemimpin dan ahli politik PKR sedia maklum cara pimpinan Khalid memerintah Selangor sememangnya mengecewakan parti itu sejak dari tahun 2008 lagi. Jadi, Khalid banyak menggunakan pembantu-pembantunya sebagai perisai atau medium untuk mengalih cara ketika mencuba mengatasi masalah yang timbul dalam parti.
Jadi, dengan perlantikan Saifuddin, mereka berharap kononnya Saifuddin akan dapat membetulkan keadaan yang kini agak runcing bagi PKR.
Nak-nak lagi Khalid memerlukan Saifuddin untuk membantu beliau menyelesaikan kemelut keletah politik pembantu-pembantu Khalid iaitu setiausaha politik, Faekah Husin, setiausaha akhbar, Arfaezah Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (Rohani Talib). Kemelut ini memang amat merisaukan parti. Mereka dikatakan adalah punca kerenggangan hubungan PKR dengan kerajaan negeri.
Seharusnya, cara yang paling mudah buat Khalid untuk menyelesaikan pergeseran ini adalah dengan menukar sahaja pegawai-pegawai berkenaan kerana dikhuatiri akan menjejaskan lebih teruk pentadbiran Selangor. Tidak mustahil jika satu hari nanti kepentingan PKR di Selangor akan terus merundum kerana PKR masih memimpin Selangor atas ihsan DAP dan PAS.
Tidak dinafikan Saifuddin mempunyai pengalaman dalam bidang politik serta mampu menggalas tanggungjawab dengan penuh prihatin.
Tetapi, kalau hanya diberikan tugas untuk menjadi mandor kepada pegawai-pegawai Khalid, memang tidak ada gunanya.
Sebab, sebelum ini juga, bekas ahli korporat kepercayaan Anwar, Dr Abdul Rahim Ghouse pernah diarahkan untuk melaksanakan tugas itu. Namun kerana beliau pun tidak ada apa-apa jawatan dalam parti, kehadirannya tidak berkesan.
Kalau diteliti rekod Saifuddin juga, beliau adalah seorang individu yang suka ‘berpindah’ dalam menentukan hala tuju politiknya. Hakikatnya, perlantikan Saifuddin juga tidak membantu mengukuhkan PKR di Selangor di mana beliau sendiri kalah dalam PRU13 lepas. Saifuddinlah penyebab PKR kehilangan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu.
Jadi, apakah dengan perlantikan Saifuddin sebagai ‘political liaison’ dapat membantu Khalid untuk mengukuhkan kembali kerajaan Selangor?
Silap hari bulan, negeri Selangor menjadi bertambah teruk dari penggal sebelum ini.
Di kala itu, mahu menyesal pun sudah tidak ada gunanya.
Catat Ulasan