Jika ada pihak di dalam BN yang menyangka bahawa peperangan sudah selesai sejurus selepas selesainya PRU, maka mereka silap. Jika ada yang menyangka bahawa ancaman sebenar adalah pada Himpunan 505, maka mereka juga silap. Himpunan 505 sudah basi, kerana itu Husam Musa terpaksa mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa menyertai himpunan itu adalah jihad bagi memanaskannya semula. Hakikatnya, himpunan itu hanyalah sekadar untuk mengisi masa lapang sementara mereka menyerang secara halus dari luar dan mungkin juga dalam.
Rasanya kita tidak perlu memberitahu kepimpinan bahawa musuh yang paling bahaya ialah musuh dalam selimut bukan di seberang jalan. Berdasarkan keputusan PRU-13 yang lalu, kita sudah pun mengetahui siapa musuh dalam selimut kita. Hanya musuh dalam selimut yang dapat duduk begitu dekat dengan kita dan menikam belakang kita.
Siapa lagi yang menikam belakang kita jika bukan MCA? Kita mungkin sembuh dari tikaman itu tetapi bagaimanakah kita menangani musuh tersebut selepas itu? Apakah masih lagi membiarkan mereka berada di sekeliling kita? Masihkah kita ingin mempercayai lakonan penyesalan mereka?
Perlu diingatkan bahawa orang yang terasa bersalah dengan yang mengaku bersalah adalah berbeza. Orang yang benar-benar terasa bersalah tidak akan memberi alasan untuk membela dirinya dan tidak akan mengulangi kesalahan yang dilakukan dengan sengaja. Sebaliknya, orang yang mengaku salah tetapi langsung tidak merasa bersalah akan mengambil sikap selamba sahaja sebaik kesalahan mereka terdedah.
Oleh itu, tidak salah jika dikatakan MCA sebenarnya tidak merasa bersalah kerana menikam UMNO dari belakang dan tidak salah juga jika dikatakan bahawa MCA bukan lagi kawan, tetapi lawan.
Jika ini tidak benar, maka kita ingin bertanya MCA kenapa akhbar milik parti itu, iaitu The Star, semakin galak ‘mempersendakan’ kerajaan dan Perdana Menteri? Lihat sahaja bagaimana The Star memaparkan senarai “10 Wanita Paling Berkuasa di Malaysia” dengan kata-kata “kita meraikan sumbangan wanita-wanita ini kepada masyarakat dari segi ekonomi, politik dan sosial”. Dan senarai teratas dalam senarai tersebut pula diletakkan nama Datin Seri Rosmah Mansor.
Bagi mereka yang kurang peka dengan strategi halus politik, mungkin melihatnya sebagai satu laporan yang jujur dan tiada salahnya bagi seorang isteri Perdana Menteri untuk mendahului senarai. Namun, bagi yang arif dan benar-benar memahami sentimen masyakarat, cukup faham akan mesej tersirat akhbar tersebut.
Kita sedia maklum bahawa pembangkang sering menuduh Datin Seri Rosmah sebagai menguasai Dato’ Seri Najib, boros dan campurtangan dalam urusan kerajaan. Justeru, tindakan The Star menyiarkan senarai tersebut jelas bertujuan untuk mengukuhkan persepsi buruk yang disebarkan oleh pembangkang itu. Apa yang menarik ialah The Star tidak menggunakan tajuk ‘berkuasa’ dan bukannya ‘berpengaruh’. Maka terbuktilah bahawa The Star sengaja mengiakan tuduhan pembangkang bahawa Datin Seri Rosmah mempunyai kuasa.
Senarai tersebut turut meletakkan nama personaliti pro-pembangkang dan pemimpin pembangkang sebagai antara wanita paling berkuasa. Antaranya, Ambiga, Nurul Izzah, Hannah Yeoh dan Teresa Kok. (Pelik juga kerana nama Wan Azizah tidak tersenarai sekali, sedangkan beliau adalah Presiden parti dan juga isteri kepada manusia ‘Anugerah Tuhan’. Mungkin benarlah persepsi rakyat bahawa Wan Azizah hanyalah boneka di dalam parti sendiri).
Secara tidak langsung, The Star juga seolah-olah cuba menyindir kerajaan kerana tidak memberi peluang yang luas kepada kaum wanita di kabinet selepas PRU-13. Di masa yang sama akhbar itu ingin menonjolkan betapa pemimpin pembangkang dan pro-pembangkang mempunyai tempat cukup signifikan dalam ‘pembahagian kuasa di kalangan wanita’ di Malaysia.
Sikap The Star menyindir dan mempersendakan kerajaan sudah lama dikesan dan sudah berkali-kali ditegur. Namun, entah kenapa MCA tidak pernah mengambil pusing untuk menegur, jauh sekali mengambil tindakan ke atas akhbar itu.
Akhbar yang dimiliki oleh sebuah parti pasti membawa suara hati parti itu. Dalam hal ini, jelas sekali bahawa The Star membawa suara hati MCA. Dan suara hati MCA itu berbunyi dendam, tidak setia dan tidak menghormati UMNO serta tidak menghargai persahabatan dalam Barisan Nasional.
Dalam kata lain, suara hati MCA adalah sama dengan suara hati DAP. Perlu diingatkan bahawa DAP itu musuh. Jadi, MCA itu apa?
-Sumber
Catat Ulasan