Headlines News :
Home » » Ops Daulat kini dikenali Operasi Sanggah

Ops Daulat kini dikenali Operasi Sanggah

Written By petang hot on Sabtu, 29 Jun 2013 | 10:01 PTG

Sabah diceroboh
LAHAD DATU - Operasi Daulat yang dilancarkan pada 5 Mac lalu untuk memerangi kumpulan pengganas Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari sini, kini dinamakan Operasi Sanggah.

Pengumuman perubahan nama operasi itu dibuat sempena penyerahan rasmi operasi Ops Daulat kepada Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, pada Majlis Perbarisan Penghargaan Ops Daulat di Padang Awam Felda Sahabat 16 di sini hari ini.

Tugas operasi Ops Daulat berkenaan diserahkan kepada Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di saksikan oleh Musa yang juga Pengerusi ESSCOM.

Turut menyaksikan penyerahan berkenaan ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Dengan penyerahan berkenaan segala pengoperasian dan pengawalan operasi Ops Sanggah dilaksanakan sepenuhnya oleh ESSCOM.

Mengulas mengenai majlis penyerahan rasmi hari ini, Musa berharap kerjasama dan komitmen semua pihak yang menjayakan Ops Daulat sebelum ini akan diteruskan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa dalam Ops Sanggah agar kesejahteraan rakyat, khususnya di pantai timur Sabah, terus terpelihara.  

Musa juga menegaskan bahawa penglibatan rakyat amat penting untuk bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat kepada anggota keselamatan.  

"Kerajaan negeri Sabah akan terus berganding bahu dengan kerajaan Persekutuan dan komited untuk membantu anggota keselamatan dalam memastikan maruah dan integriti negara terus dipertahankan," katanya.

"Sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negara, Perdana Menteri akan memantau dan memberi perhatian khusus kepada keseluruhan operasi ESSCOM," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain berkata sementara menunggu kewujudan lima batalion anggota keselamatan di sepanjang pantai timur Sabah, anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibawa dari seluruh negara untuk ditempatkan di kawasan ESSCOM.

"Kita akan tetapkan bahawa kekuatan itu tetap sama sehinggalah lima batalion ini diwujudkan secepat mungkin. Satu unit batalion ATM akan diwujudkan di Felda Sahabat dengan kekuatan antara 600 hingga 800 anggota," katanya.

Zulkifeli juga berkata semua aset yang digunakan semasa operasi memerangi pengganas seperti kereta perisai, pesawat, meriam akan tetap berada di kawasan ESSCOM.  - Bernama
Share this post :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Petang Hot - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger