Headlines News :
Home » » Palanivel ke Indonesia esok selesai isu jerebu

Palanivel ke Indonesia esok selesai isu jerebu

Written By petang hot on Selasa, 25 Jun 2013 | 11:14 PTG

Datuk Seri G. Palanivel
PUTRAJAYA - Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel akan ke Indonesia esok untuk bertemu rakan sejawatannya Balthasar Kambuaya bagi mencari penyelesaian segera terhadap kebakaran yang menyebabkan Malaysia dilanda jerebu tebal, selain Singapura dan Indonesia sendiri.
   
Palanivel berkata Malaysia bersedia menawarkan sokongan teknikal bagi meningkatkan usaha memadam kebakaran di negara itu yang menyebabkan kualiti udara di negara ini semakin merosot.
   
"Mula-mula sekali, kami perlu ambil tindakan segera untuk memadam kebakaran yang berlaku. Kami bersedia memberi bantuan kepada Indonesia dalam bentuk tenaga manusia, kepakaran teknikal, peralatan, pembenihan awan dan pesawat pengebom air.
   
"Sebenarnya, kini, jerebu menjadi isu nasional. Ia sudah merebak hingga ke Borneo apabila terdapat terlalu banyak tompok panas di Indonesia. Kami perlu berbincang untuk menyelesaikan masalah ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
   
Palanivel berkata masalah jerebu merupakan masalah rentas negara dan sempadan yang menjejaskan kesihatan, pelancongan, perniagaan dan ekonomi.

Beliau berkata pada mulanya, perjumpaan berkenaan dijadual berlangsung Jumaat lepas, tetapi ditunda dan dijadualkan semula oleh rakan sejawatannya itu.
   
"Malaysia mempunyai pengalaman dalam menangani kebakaran tanah gambut dan kami bersedia menawarkan kepakaran kami kepada Indonesia untuk membantu mereka menyelesaikan masalah rentas negara dan sempadan ini," katanya.
   
Di samping pertemuan itu, Palanivel berkata kementerian berkenaan juga akan cuba mengadakan perjumpaan dengan para wakil syarikat perladangan Malaysia di Indonesia, yang disyaki menyumbang kepada keadaan berjerebu sekarang.
   
"Laporan mendakwa syarikat Malaysia terlibat dalam kegiatan pembakaran secara haram. Jika ini benar, kerajaan Indonesia perlu menguatkuasakan undang-undang dan mendakwa mereka.
   
"Pendakwaan boleh dilakukan kemudian, tapi perkara lebih penting sekarang ialah mengawal kebakaran hutan di tengah Sumatera," katanya.
   
Beliau berkata para pegawai Malaysia dan Singapura juga sedang berusaha agar mesyuarat jawatankuasa jerebu Asean dapat diadakan pada minggu ketiga Julai, bukan Ogos.
   
Malaysia menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah mesyuarat itu di Kuala Lumpur. - Bernama
Share this post :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Petang Hot - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger