Home »
» 'PR Selangor jangan berpuak-puak'
'PR Selangor jangan berpuak-puak'
Written By petang hot on Sabtu, 29 Jun 2013 | 12:27 PG
SHAH ALAM – Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor supaya bersatu tanpa mengira ideologi politik, disepakati Adun-adun di negeri ini.
Menjunjung ingatan tuanku itu, Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias, BN Selangor benar-benar berharap sidang Dun kali ini dapat dimanfaatkan untuk menyuarakan masalah rakyat dan dasar memenuhi matlamat dengan lebih berkesan berbanding penggal lalu.
"Kita kena ambil bahagian dalam dewan ini untuk menyatukan bahawa undang-undang dan peraturan seperti yang dinasihatkan Tuanku itu, kita sama-sama menghormati.
"Kita juga akan menjadi sebagai penyemak dan imbang sepanjang persidangan Dewan Negeri akan datang,” katanya kepada Sinar Harian Online selepas upacara pembukaan penggal pertama Dewan Negeri Selangor kali ke-13, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas titah tuanku yang menggesa semua pihak supaya memberikan kerjasama dengan kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui PR tanpa mengira ideologi politik dalam membangunkan negeri ini.
Tuanku turut menggesa mana-mana pihak khususnya Adun Selangor supaya menghormati sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.
Dalam pada itu, Shamsuddin menyifatkan titah tuanku itu sebagai bertepatan pada masanya setelah dilantik dan dipilih oleh rakyat pada PRU13 lalu dengan melaksanakan sepenuhnya tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat.
"Janganlah bila sudah selesai pilihan raya, kita buat satu gerakan untuk merasakan kita ada satu sistem yang lain.
"Kita kena menghormati undang-undang, sistem pilihan raya telah pun berjalan dengan baik, janganlah pula kita membawa sistem itu ke jalan raya dan saya sangat berharap di Selangor ini perkara itu tidak timbul seperti mana yang berlaku di Parlimen awal minggu lalu,” tegasnya.
Sementara itu, Adun Kuang dari BN, Abdul Shukur Idrus pula berkata, salah satu bentuk kerjasama yang boleh dilakukan ialah dengan menjadi pemantau kepada kerajaan negeri sekarang.
"Kita akan sentiasa memantau, menjadi mata dan telinga rakyat untuk memperbetulkan mereka (kerajaan negeri) sekiranya lari daripada landasan pembangunan dan pembelaan kepada rakyat seperti yang dikehendaki oleh Tuanku Selangor.
"Kita mengharapkan pihak kerajaan negeri mesti telus, beberapa perkara yang dibicarakan mesti ada keputusan seperti mana adanya Selcat dalam kerajaan negeri kegunaannya harus digunakan sepenuhnya dan mesti keputusan hasil daripada perbicaraan itu,” jelasnya.
Speaker Dun Selangor yang baru, Hannah Yeoh Tseow Suan juga menyambut baik saranan tuanku sambil menyeru Adun Selangor supaya memanfaatkan persidangan itu nanti.
"Kalau ada apa-apa polisi yang semua pihak tidak setuju, di sinilah tempat kita bercakap dan berunding, bukan membuat kenyataan media di luar dewan.
"Kita mahu Adun mengambil kesempatan peluang ini, mereka telah dipilih oleh rakyat untuk mewakili suara mereka dan mereka harus guna peluang ini dengan baik dan guna semua ruang dan masa yang diberikan dalam Dewan Negeri berbahas isu yang sebenar,” katanya.
Timbalannya, Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, titah tuanku itu lebih menjurus kepada gesaan mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor itu sendiri.
"Sebab itu amalan baik Kerajaan Negeri Selangor itu dapat diterima dan sebagaimana titah tuanku hendak menjadikan Selangor berada selalu di hadapan dari sudut amalan demokrasi dan sebagainya," katanya.
Selain itu, Adun Sekinchan dari DAP, Ng Suee Lim yang ditemui turut menyatakan sokongannya terhadap titah tuanku itu dan kini katanya bukan lagi masa untuk berpolitik.
"... tidak kira Adun dari PR atau BN, kerajaan ataupun pembangkang, seharusnya selepas pilihan raya ketepikan unsur politik, kurangkan polemik politik, kita lebihkan tumpukan kepada kebajikan, kesejahteraan hak rakyat untuk kita perjuangkan di kawasan masing-masing," tegas beliau.
Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar pula mengharapkan Adun PR khususnya, saling bekerjasama sebagai satu kumpulan, bukannya mengikut parti masing-masing dalam melaksanakan dasar kerajaan negeri.
"Sekarang kita ada dua pertiga majoriti, kita kena guna peluang ini untuk tubuhkan dasar-dasar baru di Selangor yang mencerminkan PR.
"Sebab itu kena ada kefahaman antara ketiga-tiga parti PR di Selangor.
"Sebab itu saya minta semua Adun untuk bekerjasama sebagai satu "coalition", bukan sebagai parti berasingan.
"Kalau kita tidak capai kesefahaman atau bersatu dalam isu ini, dasar-dasar yang hendak ditubuhkan PR tidak akan berjaya.
"Sebab itu saya minta kita bersatu dan bawa dasar-dasar itu kepada pegawai-pegawai kerajaan yang akan menerima dasar tersebut sebagai dasar kerajaan negeri PR,” tegasnya.
-SH
Catat Ulasan