
Usaha mencari pesawat MH370 yang hilang kini tertumpu di koridor selatan Lautan Hindi meliputi kawasan seluas 469,407 batu nautika persegi.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata berikutan penemuan analisis data terkini, operasi mencari di koridor utara telah dihentikan.
"Kami sedang bekerja untuk memperincikan lagi kawasan carian, menggunakan empat kaedah yang saya nyatakan sebelum ini: mengumpulkan maklumat daripada pemantauan satelit, analisis data daripada pemantauan radar, meningkatkan aset-aset permukaan dan udara, dan meningkatkan bilangan pakar teknikal dan bidang berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkembangan operasi mencari MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Mengenai penghantaran aset, dua pesawat Korea berlepas dari lapangan terbang Subang ke Perth pagi ini dan enam kapal China serta kapal tentera laut Australia , HMAS Success kini berada di kawasan pencarian.
"Pengesan Bunyi Ping Amerika - satu alat yang boleh membantu mencari sebuah kotak hitam - sekarang sedang dalam perjalanan ke Perth dan akan tiba esok. Sistem itu akan dipasang pada kapal Australia, Ocean Shield, yang dijangka berlabuh di Perth pada 28 Mac ini," kata beliau.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis terbaru daripada Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan syarikat satelit Inmarsat.
Operasi selama 17 hari bagi mencari dan menyelamat pesawat yang hilang pada 8 Mac lepas itu, merupakan antara operasi yang terbesar dalam sejarah penerbangan melibatkan 26 negara.
Spekulasi mengenai misteri kehilangan MH370 itu masih berterusan kerana sampai sekarang tiada jawapan konkrit yang boleh menjelaskan kehilangannya sehingga kota hitam ditemui.
Catat Ulasan