Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa pihak-pihak bertanggungjawab agar tidak lagi berkompromi dengan sekumpulan individu yang bertindak menghina Yang di-Pertuan Agong di aman sosial Facebook sekali gus mahu tindakan tegas diambil.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda UMNO juga mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak melengah-lengahkan tindakan tersebut kerana jelas tulisan pihak terlibat di laman sosial itu berbaur hasutan.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan percaya keamanan negara dapat dipelihara sekiranya SKMM dan pihak bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang sedia ada yang diperuntukan bagi kesalahan seumpama itu tanpa rasa takut.
"Pemuda UMNO memandang serius kenyataan dibuat di laman sosial dengan yang terkini ada pihak yang mengeluarkan kata-kata yang menghina Yang Dipertuan Agong yang jelas berbaur hasutan. Kita tidak boleh berkompromi perkara ini.
"Biarpun saya selaku Ketua Pemuda menyokong kebebasan bersuara, namun ia ada batasnya dan perlu ada sikap bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Belia dan Sukan Negeri di sini hari ini.
Catat Ulasan