Seperti yang dijangka perjalanan sidang Dewan Rakyat pagi tadi sedikit kecoh dengan tindakan ahli-ahli Parlimen dari pakatan pembangkang yang menjerit-jerit seperti budak sekolah bertujuan untuk mengganggu majlis perlantikan Speaker Dewan Rakyat yang baru.
Seisi Dewan Rakyat yang bermula sebaik sahaja loceng dibunyikan pada pukul 10.00 pagi bermula apabila Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah membacakan peraturan urusan perjalanan dewan dan memaklumkan seisi pengundian secara bersuta akan diguna pakai untuk pemilihan pada kali ini selari dengan Aturan Peraturan Majlis Mesyuarat atau lebih dikenali sebagai Buku Peraturan Mesyuarat.
Buku Peraturan Mesyuarat, Bilangan 3 (3) mengatakan Jika hanya seorang ahli atau seorang lain sahaja yang dicadangkan dan disokong jadi Tuan Yang di-Pertua, maka Setiausaha hendaklah memasyhurkan ahli atau seorang lain itu telah kena pilih, dengan tidak dikemukakan bagi diputuskan oleh mesyuarat. Jika lebih daripada seorang ahli atau seorang lain cadangkan dan disokong jadi Tuan Yang di-Pertua, maka Majlis hendaklah menjalankan pilihan dengan undi bersurat.
Sesuai dengan kehendak Buku Peraturan Mesyuarat, Roosme memaklumkan, selain menurunkan tandatangan semua ahli-ahli Parlimen diminta untuk menulis nama di atas kertas pengundian tersebut. Tidak berpuas hati dengan makluman yang diberikan itu, ramai di kalangan ahli parlimen bangkit dan mula membuat kecoh. Menjawab persoalan yang dibangkitkan Setiausaha menjelaskan ia adalah perkara biasa dan bukan yang pertama kali diadakan.
Disebabkan kekecohan itu, Dewan Rakyat menjadi gamat seketika sehingga memaksa Setiausaha mematikan seketika alat pembesar suara. Sejurus selepas itu Perdana Menteri yang mewakili Barisan Nasional bangkit untuk mengemukakan cadangan untuk melantik penyandang jawatan tersebut Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri.
Keadaan mula menjadi tenang apabila pihak pembangkang yang diwakili oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan agar Datuk Abdul Kadir Sulaiman dipilih sebagai Speaker yang baru dan disokong oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Seperti yang diduga sejurus selepas semua undi ahli-ahli parlimen dikira keputusan telah memihak kepada Pandikar Amin dengan apabila berjaya memperoleh 133 undi berbanding Abdul Kadir yang hanya mampu berpuas hati dengan 89 undi.
Sejurus selepas mengangkat sumpah jawatan untuk penggal yang kedua, Pandikar Amin memulakan tugasnya dengan memberikan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk terus mengalas jawatan tersebut.
Beliau juga antara lainnya turut mengatakan sepanjang tempoh kempen pilihan raya yang lalu banyak slogan telah digunakan oleh kedua-dua belah pihak antaranya ‘ubah’, ‘transformasi’, ‘reformasi’ dan ‘ini kalilah’.
“Bagi mereka yang mempopularkan seruan ini mungkin mempunyai pengertian tersendiri, akan tetapi seruan-seruan ini bermesej iaitu menyeru mengubah sikap untuk membuat kebaikan. Ayuh kita ubah, kita bereformasi, kita bertransformasi…kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi? Ini kalilah.
“Ini kalilah…kita julang memartabatkan Parlimen Malaysia ke tahap yang tinggi dengan menunjukkan sikap yang baik,” katanya.
Kesimpulannya ucapan ringkas yang disampaikan oleh Pandikar walaupun pakatan pembangkang menganggap ia sebagai satu pengiktirafan namun dari satu segi Speaker sebenarnya ingin mengingatkan ahli-ahli dewan rakyat agar menghormati status dewan rakyat yang mulia.
Ini kerana berdasarkan pengalaman yang lalu, pasti rakyat dapat melihat bagaimana pakatan pembangkang dengan jelas sering bertindak di luar batas dan keterlaluan. Selain menggunakan kata-kata yang kesat, mereka juga sering menghina malah ada kalanya bertindak memaki hamun di dalam dewan itu semata-mata untuk mendapatkan tumpuan para pemberita dan wartawan yang sering menanti di luar.
Dengan perlantikan dan majlis angkat sumpah yang diadakan tadi, maka bermulalah episod baru untuk semua ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih. Diharapkan kesempatan itu, digunakan untuk berbahas dengan baik dan mengikut peraturan bagi membawa permasalahan rakyat. Janganlah dijadikan Dewan yang mulia itu seperti sebelum ini yang adakalanya tidak ubah seperti ‘zoo’ yang penuh dengan lakonan dan pameran aksi binatang bagi ditontonkan kepada rakyat.
Catat Ulasan