Baru-baru ini Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat ada menulis di Harakah. Katanya, cadangan PAS untuk bersama UMNO, hanya bagaikan “pungguk rindukan bulan”. Dia membidas cadangan Prof Datuk Dr Zainal Kling yang ditulis di akhbar Sinar Harian pada 20 Jun lalu.
Memandangkan “orang sudah tidak mahu lagi dia menjadi MB Kelantan”, maka Nik Aziz mungkin kurang publisiti dan cuba menarik perhatian ramai dengan memaparkan kedegilan hatinya yang “hitam” terhadap impian menyatupadukan ummah di negara ini.
Kata Nik Aziz…
Dalam kenyataannya itu, beliau mencadangkan agar PAS bergabung dengan Umno untuk memperjuangkan Islam. Hal ini kerana parti-parti yang ada di sekeliling PAS semuanya mengkhianati Islam. Hanya Umno sahaja yang memperjuangkan Islam. Pada saya, kenyataan ini sangatlah tidak berasas. Jika umpama dahan pokok untuk berpaut, profesor ini nyata sekali sedang bergayut di dahan yang rapuh. Barangkali kerana bimbang jatuh ke tanah digigit semut, terus-menerus tangan memeluk dahan yang menunggu masa untuk tersemban. Lambat laun sebenarnya dahan ini akan jatuh jua.
Itu kata Nik Aziz secara peribadi. Pada saya, memang benar UMNO memperjuangkan Islam selama ini di Malaysia. Bukan saja secara lisan, malah dasar-dasar dan segala muamalah yang dilaksanakan Kerajaan BN yang ditunjangi UMNO tidak bercanggah dengan semangat dan jiwa Islam.
Berbanding dengan PKR dan DAP yang menjadi tempat PAS “bergayut”, kedua parti ini begitu jelas menolak dasar dan semangat Islam. Anwar sendiri menyokong Israel menzalimi Palestin dan DAP berkali-kali menegaskan bahawa mereka menolak Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Kalau nama “negara Islam” pun mereka tolak, apatah lagi dasar-dasar Islam, bukan?
Jadi, “dahan mana lebih rapuh”? Malah pada saya, PAS sebenarnya tidak punya dahan pun untuk berpaut. PAS terawang-awang dalam dilema sejak bersama DAP dan PKR. Penyokong PAS sendiri menjauhi PAS sejak parti itu bergabung dengan kedua parti “syaitan” itu…
Nik Aziz berkata…
Amatlah lucu sekali apabila beliau menyatakan bahawa hanya Umno yang memperjuangkan Islam. Barangkali langkah Umno membenarkan premis judi di Kelantan sebelum tahun 1990 dahulu salah satu daripada perjuangan Islam menurut kaca mata ‘orang cerdik pandai’ ini? Di Melaka, pernah seorang Ketua Menteri yang merupakan pimpinan tertinggi Umno mencadangkan agar pusat hiburan dilanjutkan masa pembukaannya sehingga ke awal pagi, inipun juga barangkali perjuangan untuk menegakkan Islam. Itu belum dicampur kenyataan-kenyataan yang menghina Islam yang dikeluarkan oleh pemimpin Umno sebelum ini. Semuanya termaktub di dalam lipatan sejarah dan generasi kita tidak buta untuk membaca semula catitan ini.
Memang UMNO yang benarkan premis judi di Kelantan sebelum PAS mengambil alih negeri itu pada tahun 1990. Apa salahnya? Premis judi itu diberikan lesen untuk orang bukan Islam yang mendesak untuk berjudi. Bukankah Islam itu adil dan meletakkan sesuatu kena pada tempatnya?
Di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat dulu juga dibenarkan premis arak dan judi dibuka untuk memenuhi kehendak nafsu puak Yahudi dan golongan kuffar. Premis-premis itu dikehendaki membayar cukai. Samalah dasar tersebut dengan dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN, bukan?
Lagipun, setelah PAS menjajah Kelantan, bukankah PAS terus menerus memberikan lesen judi itu kepada premis-premis itu? Kenapa PAS tidak berhenti berikan lesen? Kalau lesen judi itu menjadi ukuran “perjuangan Islam”, maka jelaslah Nik Aziz ini jumud fahamannya…
PAS sendiri sejak lebih 62 tahun setiap detik, setiap saat, setiap minit, setiap jam, setiap hari, setiap bulan dan setiap tahun menghina Islam. Sudah berdekad PAS menghina Islam. PAS gunakan nama “Islam” pada nama partinya.
Kononnya dengan adanya perkataan Islam itu maka PAS perjuangkan Islam? Padahal, PAS hanyalah perjuangkan politik dan memecah belahkan ummah dengan memperdagangkan Islam. Jelas sekali penghinaan PAS terhadap kesucian Islam itu.
Sebetulnya, PAS itu parti politik dan Islam itu tetap sebuah agama bernama Islam, bukan?
Nik Aziz bertanya…
Saya ingin bertanya, jika sekarang mahu mengajak PAS bersatu dengan Umno, apa lebihnya Umno berbanding dengan PAS dalam hal memperjuangkan Islam? Sewaktu pemimpin parti komponen Barisan Nasional menghina seorang wakil rakyat Umno di Johor yang mencadangkan hudud dengan label ‘hilang akal’, di mana pemimpin Umno menyembunyikan diri? Jika lebihnya Umno ialah kerana bilangan kerusi, saya suka mencadangkan agar ADUN Umno di Kelantan menyertai PAS kerana bilangan kerusi yang dimiliki oleh PAS di Kelantan lebih banyak jauh mengatasi Umno!
Apakah perlu apabila kita mencadangkan sebuah penyatuan umat Islam di negara ini maka diwajibkan kita memberitahu tentang “apa yang lebihnya” pada diri kita? Seseorang itu perlu miliki kelebihan untuk mengajak PAS menyatukan umat Islam? Pemikiran Yahudi mana yang diceduk Nik Aziz?
Kalau PAS bersama UMNO di dalam BN, jangankan hudud, malah saya yakin dengan keberkatan perpaduan ummah itu kita akan dapat mencapai lebih dari itu. Itulah kelebihan yang dipersoal Nik Aziz. Pokok pangkalnya ialah perpaduan ummah dan insyaAllah keberkatan perpaduan itu akan dilimpahi dengan jutaan kelebihan rahmat dan rahim dariNya!
Umat Islam di Malaysia belum bersatu, maka payahlah dapat dilihat kelebihan itu. Cuba bersatu terlebih dahulu dan kita akan nampak hasilnya. Lainlah kalau Nik Aziz tidak habis-habis dengan sifat dendam kesumatnya yang lepas-lepas. Pemimpin silih berganti dan sudah tentu pendekatannya berlainan, bukan? Apa salahnya bersatu demi perpaduan ummah? Islam larang, kah?
Kalau Nik Aziz ukur kelebihan itu dengan jumlah “kerusi”, sampai matilah umat Islam di negara ini takkan bersatu. Kalau Nik Aziz nak sangat kerusi, rasanya dia mampu beli di kedai perabot. Kerusi itu bersifat duniawi manakala perpaduan ummah itu bersifat ukhrawi. Duniawikah yang Nik Aziz kejar?
Seterusnya dia berkata…
Jika Umno memperjuangkan Melayu, kenapa Kelantan dinafikan hak ke atas royalti minyak dalam keadaan majoriti rakyat Kelantan berbangsa Melayu dan beragama Islam? Kenapa Umno memainkan peranan untuk menyekat pembangunan ke Kelantan dan ini diakui sendiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan satu ketika dahulu? Apakah perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan sikap seperti ini selain daripada pengkhianat?
“Pengkhianat” itu diukur dengan “royalti minyak” dan sekatan “pembangunan”? Betul-betul Nik Aziz bersifat cintakan duniawi. Cuba fikir, kalaulah PAS bersatu dengan BN, saya yakin bahawa Kelantan tidak perlu royalti minyak pun, Allah akan limpahkan kemakmuran d negeri itu…
Kalaulah royalti minyak dan pembangunan diberikan di Kelantan di mana PAS dan Pakatan Haram memerintah negeri itu, kalau Allah SWT tetapkan negeri Cik Siti Wan Kembang itu mundur ke belakang, maka ia tetap mundur juga, bukan?
Kalau Nik Aziz tak tahu memerintah, lemah mentadbir dan tidak tahu bangunkan sebuah negeri, janganlah salahkan orang lain. Muhasabah dan cermin diri sendiri terlebih dahulu. Kalau asyik ceramah saja 24 jam, macam mana negeri nak maju? Bela kambing pun lingkup rugi..!
Nik Aziz menulis…
Pada saya, Islam yang dibawa oleh Umno ialah Islam celup. Selagi dasar yang menjadi tunjang perjuangan Umno ialah kebangsaan, tiada apa-apa nilai terhadap gerak laku Umno sekalipun nampak seolah-olah ia pro-Islam. Pada zaman Rasulullah SAW, masjid Dhirar diperintahkan untuk diruntuhkan sekalipun ia sebuah masjid kerana ia didirikan bukan di atas semangat Islam yang sebenar.
Islam yang dibawa UMNO itu “Islam celup” pada saya hanyalah pandangan peribadi Nik Aziz seorang saja. Saya yakin bahawa ramai lagi pemimpin, ahli dan penyokong PAS yang menyedari betapa seriusnya Kerajaan Malaysia mengimarahkan Islam di negara ini.
Kalau kita ke negara luar, belum tentu lagi kita akan dapat belajar Islam, ada mata pelajaran berteraskan agama Islam, IPT Islam, agensi-agensi Islam dan sebuah kementerian yang menjaga kepentingan Islam, bukan? Di Singapura yang dibanggakan DAP itu ada?
Masjid Dhirar itu lebih tepat sekiranya dirujuk pada PAS. Parti itu lebih layak “diruntuhkan” kerana ia “dimursyidkan” oleh seorang mursyidul am yang menentang keras perpaduan ummah yang dituntut Rasulullah SAW kerana ia ditubuh bukan di atas semangat Islam, bahkan nafsu politik yang meluap-luap!
Akhirnya Nik Aziz mencoret…
Oleh sebab itu, saya tetap berpendirian, PAS tidak akan bersama-sama Umno selagi Umno tidak menukar dasar. Berhentilah menjadi pungguk yang rindukan bulan. Saban malam merenung bulan sambil memanggil-manggil, mahu terbang sayap kecil, mahu biarkan sahaja, hati pula tidak sanggup melihat bulan dipagar bintang. Akhirnya si pungguk hanya mampu berbuat bising!
Sekali lagi Nik Aziz tegaskan pendiriannya. Dan sesungguhnya PAS itu bukan milik mutlak Nik Aziz. Saya yakin ramai lagi pemimpin tertinggi PAS yang tidak bersetuju dengan Nik Aziz dan pro-perpaduan ummah. Mereka cuma malas nak bertekak dengan orang tua saja…
Pada saya, biarlah UMNO dituduh “pungguk rindukan bulan” atau “pungguk yang berbuat bising” asalkan pungguk itu merindukan perpaduan ummah dan buat bising demi menyatupadukan umat Islam yang dipisahkan oleh kedegilan seorang cikgu bernama Nik Aziz…
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
11 Syaaban 1434H bersamaan 20 Jun 2013M
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
11 Syaaban 1434H bersamaan 20 Jun 2013M
Duke Of Monte Cristo,
Muslim biasa,
Ahli UMNO biasa,
14 Syaaban 1434H bersamaan 23 Jun 2013M
Muslim biasa,
Ahli UMNO biasa,
14 Syaaban 1434H bersamaan 23 Jun 2013M
Catat Ulasan