Headlines News :
Home » » MCA adakan sesi dialog seluruh negara

MCA adakan sesi dialog seluruh negara

Written By petang hot on Khamis, 20 Jun 2013 | 2:18 PG

KUALA LUMPUR - Pasukan Khas MCA akan mengadakan sesi dialog secara tertutup bersama anggota parti di seluruh negara bagi melakukan transformasi semula struktur serta menggubal hala tuju baharu parti itu.
   
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengetuai pasukan khas itu berkata berikutan kekalahan teruk MCA pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), pihaknya merasakan adalah perlu bagi mereka turun padang dan mendengar sendiri pandangan serta cadangan anggota parti di setiap negeri.
   
"Melalui sesi dialog ini, selain dapat berinteraksi antara pemimpin parti dan anggota, kami juga dapat mengumpul data serta maklum balas berhubung penerimaan masyarakat terhadap parti bagi memudahkan kerja penstrukturan semula parti.
   
"Kami juga membahagikan kepada beberapa bahagian dalam mentransformasikan parti secara berkesan, antara topik yang akan dibincangkan termasuklah perubahan struktur parti, hala tuju parti selepas PRU13, penerimaan masyarakat Cina serta peranan MCA sebagai parti komponen dalam Barisan Nasional," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA hari ini.
   
Beliau berkata pihaknya juga melantik beberapa pemimpin MCA menganggotai pasukan khas itu bagi membantu kerja merancang dan proses pengumpulan data.
 
"Antaranya Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong, Ketua Wanita Datuk Yu Chok Tow, Anggota Jawatankuasa Tertinggi Datuk Hou Kok Chung serta Ketua Biro Profesional Muda MCA Datuk Chua Tee Yong, yang akan turut bersama-sama dalam setiap sesi dialog yang diadakan di seluruh negara," katanya.
   
Liow berkata dua sesi dialog di peringkat Selangor dan Wilayah Persekutuan telah diadakan pada 17 Jun serta semalam dan mendapat sambutan menggalakkan.
   
"Ramai anggota yang menyertai sesi dialog itu mengemukakan cadangan yang bernas serta sangat berguna, terutama dari segi hala tuju parti selepas kekalahan teruk pada PRU13," katanya. 
   
Beliau berkata selain menyertai sesi dialog secara tertutup, orang ramai boleh mengemukakan cadangan menerusi e-mel di alamat transform@mca.org.my.
   
"Selepas mengadakan sesi dialog bersama anggota parti, kami juga akan mengadakan beberapa lagi siri dialog yang membabitkan persatuan Cina serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengumpul lebih banyak cadangan daripada pelbagai pihak," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menyusun semula data serta cadangan yang dikumpul melalui sesi dialog dan e-mel orang ramai sebelum menghasilkan satu pelan tindakan untuk dipamer kepada umum.
   
"Anggota serta orang ramai juga boleh terus mengemukakan cadangan mereka selepas pelan tindakan itu dipamer kepada umum sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Presiden untuk diluluskan, dan seterusnya ke Mesyuarat Agung Tahunan Parti pada bulan Disember untuk dibahas," katanya.
   
Dalam perkembangan lain, Liow enggan mengulas soalan sama ada beliau akan bertanding merebut jawatan presiden parti.
   
"Yang penting bagi kami sekarang adalah untuk mengembalikan sokongan rakyat dan memastikan jentera dan kedudukan parti diperkukuh semula, kami tidak ada masa untuk memikirkan siapa yang akan bertanding (jawatan presiden parti) dan sebagainya.
 
"Walau bagaimanapun, saya akan mengumumkan perkara itu kepada anda semua bila difikirkan sesuai," katanya.  - Bernama
Share this post :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Petang Hot - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger