Kisah pengundi hantu telah pun senyap, begitu juga kisah ‘blackout’ ketika pengiraan undi. Laman-laman sosial puak PR yang sebelum ini begitu giat mencanang, menyebar dan menghentam SPR atas dua isu ini kini berpura-pura pekak apabila ditanya kenapa tiada laporan polis berkenaan dua tuduhan tersebut.
Satu-satunya isu yang belum senyap dan terus dicanang bagi ‘mengenakan’ SPR ialah isu dakwat kekal. Dan hari ini, akhbar-akhbar perdana melaporkan bahawa SPR akan disiasat oleh SPRM mengenai isu ini.
Kita sambut berita ini dengan tangan terbuka kerana semua pihak perlu meletakkan titik noktah kepada semua kegilaan tuduh menuduh ini.
SPR tidak wajar dijadikan satu-satunya kambing hitam sedangkan mereka sejak awal lagi menolak penggunaan sistem dakwat kekal ini atas alasan tiada kredibiliti. Namun, pihak pembangkang terus mendesak penggunaannya sehingga membawa kepada beberapa siri demonstrasi jalanan yang berakhir dengan keganasan.
Kerajaan akhirnya akur kepada desakan pembangkang dengan harapan ia akan membawa Malaysia kembali tenang dan aman. Bagaimanapun, apa yang ditakuti oleh SPR iaitu dakwat kekal bakal membawa masalah terbukti berasas apabila banyak aduan mengenai sifatnya yang ‘tidak kekal’ diterima.
Sehubungan dengan itu, SPR tidak semena-mena telah dipertanggungjawabkan pula.
Pembangkang benar-benar menjadikan SPR sebagai ‘punching bag’ dalam isu ini. Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Mat Sabu semuanya secara terang-terangan menuduh SPR menipu.
Namun, dengan perkembangan terbaru ini, kita semua berpeluang untuk mendapat kisah sebenar tentang siapa yang menipu dan siapa yang tertipu. Siasatan pastinya akan membongkar segala-galanya termasuk siapa pembekal dakwat kepada SPR dan dari mana mereka mendapat bahan-bahan untuk membuat dakwat tersebut, siapa yang menyediakan khidmat pembotolan atau kotak, malah pengangkutan yang digunakan untuk menghantarnya.
Selain itu, setiap seorang terlibat seperti petugas yang mengendalikan dakwat serta agen-agen parti yang menjadi pemerhati juga akan dikenalpasti dan disoal.
Menjawab isu ini bagi pihak kerajaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim telah menjelaskan bahawa dakwat kekal berkenaan telah diuji sebelum pilihanraya dan kredibilitinya adalah menepati piawaian. Beliau juga menjelaskan bahawa bahan kimia yang digunakan dalam dakwat kekal berkenaan telah digantikan dengan pewarna makanan dan tahap ketahanannya bergantung kepada individu serta usaha yang dilakukan oleh setiap individu untuk menghilangkan kesannya.
Perlu difahamkan bahawa SPR adalah sebagai pelanggan dan bukan pembekal dakwat.
Sekiranya bekalan tidak menepati kualiti yang ditawarkan pada awalnya, ia merupakan satu penipuan di pihak pembekal dan bukan SPR. Ini juga membawa makna pembangkang telah memfitnah SPR. Jika ini berlaku, maka SPR tentunya punya hak untuk membersihkan nama mereka dengan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pembangkang berdasarkan hasil siasatan tersebut.
Catat Ulasan