Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini melabelkan portal pro pembangkang Malaysian Insider dan wartawannya sebagai pembohong kerana sering memutar-belitkan laporan yang dikeluarkan.
Bercakap di parlimen petang tadi, Shahidan menegaskan peruntukan RM400 juta kepada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) yang dinyatakan pada minggu lalu adalah merupakan kos keseluruhan SPR mengendalikan pilihan raya umum yang lalu termasuk pembayaran elaun kepada para petugas.
Shahidan menerusi jawapan bertulisnya yang diedarkan di Dewan Rakyat pada pagi Isnin memaklumkan Kementerian Kewangan telah meluluskan kos perbelanjaan PRU-13 sebanyak RM400 juta.
“Saya menjawab kenyataan Malaysia Insider bahawa laporan tersebut adalah bohong, berniat jahat dan dengan sengaja memutarbelitkan fakta. Sebenarnya SPR telah diperuntukkan sebanyak RM400 juta oleh kerajaan untuk mengadakan pilihanraya.
“Dan mereka membelanjakan (peruntukan tersebut) seperti berikut, iaitu RM204.1 juta untuk elaun para petugas pilihanraya (di bayar kepada) seramai 240,000 petugas. Elaun lebih masa sebanyak RM5 juta, sewaan dan pelbagai kelengkapan yang digunakan, sebanyak 98.4 juta dan lain-lain kos adalah sebanyak RM92.3 juta
Portal tersebut melalui artikel bertajuk “Petugas SPR dapat bonus RM200” yang disiarkan pagi tadi dilihat dengan sengaja cuba mewujudkan kekeliruan di kalangan pembaca. Ini kerana kandungan artikel yang disiarkan langsung tidak menyebut perkataan bonus seperti yang di dakwa melalui tajuk artikel tersebut.
Ekoran tajuk laporan yang dikeluarkan itu, ahli parlimen pakatan pembangkang bangkit mempersoalkan kewajaran bayaran bonus tersebut. Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali sebagai contoh mengatakan SPR tidak layak memperoleh sebarang bonus berikutan kegagalan mereka mengendalikan pilihan raya dengan bersih dan adil.
Sedangkan pada hakikatnya dakwaan yang dikeluarkan itu langsung tidak mempunyai asasnya.
“RM200 juta adalah elaun kepada 240,000 petugas dan pekerja SPR. Laporan awal yang mengatakan ia bonus adalah tidak benar…ia hanyalah elaun. Dalam jawapan bertulis itu tiada perkataan bonus, saya hanya tulis bayaran perkhidmatan dan saguhati. Itu saja,” katanya lagi.
Oleh yang demikian, menurut Shahidan lagi, laporan yang mengatakan SPR dapat bonus adalah merupakan satu perbuatan bohong dan berniat jahat. Malah beliau turut berdoa kepada Allah agar wartawan yang tidak bertanggungjawab itu segera bertaubat.
“Saya berdoa kepada Allah, semoga Allah yang maha berkuasa mencepatkan taubat atau azab kepada pemberita yang telah berbohong.
“Walaupun kita tahu dalam pemberitaan sekarang orang bebas untuk berkata itu dan ini, saya tetap dengan rendah diri kepada Allah agar membetulkan hati-hati mereka untuk melihat kepada kebenaran. Ini kerana pada hakikatnya SPR tidak mendapat bonus” tegasnya lagi.
Catat Ulasan