Home »
» Celcom fokus digital, M2M
Celcom fokus digital, M2M
Written By petang hot on Selasa, 25 Jun 2013 | 11:29 PTG
PENYELIA telekomunikasi Celcom Axiata Bhd akan memfokus kepada perkhidmatan digital dan perniagaan mesin-ke-mesin (M2M) dan mengurangkan tumpuan kepada segmen suara dan SMS dalam lima tahun ini, kata Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Celcom, Chari TVT.
Perkhidmatan digital ini termasuklah pembayaran digital, pengiklanan digital dan beli-belah digital dengan tumpuan kepada kandungan mudah alih dan perkhidmatan tambah nilai di The Cube, pengiriman wang mudah alih Air Cash dan perkhidmatan pemindahan wang, katanya.
“Kami juga berhasrat mengadakan perkongsian dengan syarikat telekomunikasi yang lain, mahu bekerjasama dengan mereka dan mempunyai model perkongsian modal,” katanya di luar acara Persidangan CFO 2013 di Kuala Lumpur, semalam.
Kerjasama itu akan menyaksikan kedua-dua pihak berkongsi tapak telekomunikasi, transmisi akses dan transmisi gentian jauh serta menghapuskan duplikasi stesen pangkalan, menangani yuran penyewaan yang melambung, mengurangkan bil utiliti dan kos transmisi, dan mengoptimumkan pengerahan stesen pangkalan.
Beliau berkata, Celcom akan berusaha meminimumkan perbelanjaan dan meningkatkan keuntungan tanpa mengabaikan keperluan pengguna.
Pada 2011, Celcom bekerjasama dengan Digi dalam skim di mana kedua-dua pihak menjangka menjimatkan antara RM100 juta RM200 juta menjelang 2015, dan kini sedang mengadakan perbincangan dengan Maxis, pengendali rangkaian mudah alih terkemuka negara.
Celcom telah mencatatkan pendapatan sebelum cukai, faedah, susut nilai, pelunasan dan amortisasi tertinggi iaitu RM3.45 bilion untuk tahun kewangan 2012, naik 7.1 peratus daripada RM3.2 bilion pada 2011.
Syarikat itu turut mencatatkan pendapatan tertinggi dalam sejarah, mengukuh tujuh peratus kepada RM7.74 bilion daripada RM7.23 bilion pada 2011. - Bernama
Catat Ulasan